Misteri kehilangan kanak-kanak lelaki terungkai, ditemui selamat di kawasan hutan

Pasukan SAR dan penduduk kampung menemui kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Advertisement

PADAWAN, Jun 14: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak selepas dilaporkan hilang ketika sedang bermain di halaman rumahnya terungkai apabila ditemui selamat di kawasan hutan di Kampung Serumah, Teng Bukap di sini hari ini.

Mangsa, Alvincent Amy yang berusia 2 tahun 10 bulan ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan penduduk kampung kira-kira 2.5 kilometer (km) dari rumahnya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kanak-kanak lelaki tersebut dijumpai pada pukul 9.32 pagi.

Advertisement

Katanya, semasa ditemui mangsa dalam keadaan lemah dan menangis sebelum dia diberi rawatan awal oleh anggota perkhidmatan bantuan kecemasan perubatan (EMRS).

“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Teng Bukap untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi SAR yang memasuki hari kedua ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.20 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiong menambah, selain pasukan bomba, operasi SAR itu turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela serta penduduk kampung.

Tiong (dua kanan) melihat petugas perubatan memberi rawatan kepada mangsa yang ditemui selamat.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas dikatakan tidak pulang setelah bermain bersendirian di luar rumah mereka di Kampung Serumah, Teng Bukap di sini lewat petang semalam.

Kehilangan kanak-kanak lelaki itu mula disedari oleh ahli keluarga mangsa pada pukul 5 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa itu pada pukul 9.25 malam.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan kemudian diarahkan ke kampung berkenaan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Apabila sampai di lokasi, ahli keluarga mangsa memaklumkan kanak-kanak tersebut dikatakan sedang bermain bersendirian di luar rumah.

“Kehilangan mangsa mula disedari oleh ahli keluarga mangsa selepas budak tersebut tiada di sekitar halaman rumah mereka,” katanya. — DayakDaily

Advertisement