Miri terima kumpulan tiga vaksin Covid-19 jenis Sinovac sebanyak 23,880 dos hari ini

Lee (kiri) di bahagian kargo MAS menyaksikan ketibaan vaksin Sinovac Covid-19 di sini pagi tadi.

Brad Rantayy

MIRI, 17 Jun: Penghantaran kumpulan ketiga vaksin Covid-19 jenis Sinovac sebanyak 23,880 dos telah selamat tiba di sini pagi tadi menggunakan pesawat komersial milik Malaysia Airlines (MAS) MH2574.

Pesawat tersebut tiba di Lapangan Terbang Miri pada jam 11.30 pagi.


Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagaian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin, penghantaran kumpulan keempat akan tiba esok (Jumaat) dengan menggunakan jalan darat melalui Bintulu yang membabitkan dos vaksin sebanyak 38,720.

“Penghantaran vaksin Covid-19 jenis Sinovac kumpulan pertama adalah sebanyak 21,920 dos pada 10 Jun 2021, diikuti penghantaran kumpulan kedua dengan dos vaksin 23,280 pada 15 Jun lepas menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima Bahagian Miri adalah sebanyak 107,800 dos.

“Ini adalah melebihi daripada apa yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 7 Jun lepas,” ujar Lee ketika ditemui.

Beliau yang ditemui selepas melakukan tinjauan di PPV Dewan Dato’ Lee Teck Fook Riam Road Secondary School berkata, penghantaran kumpulan keempat yang akan sampai esok dengan jalan darat melalui Bintulu memberikan kelegaan kepada JPBB Miri bahawa bekalan keseluruhan vaksin Covid-19 kini sampai bagi menampung keperluan di Bahagian Miri yang terdiri daripada lima Daerah iaitu Daerah Miri, Daerah Subis, Daerah Marudi, Daerah Telang Usan dan Daerah Marudi.

Pada masa yang sama, Lee turut menyaksikan penyerahan sebanyak 20 unit komputer riba oleh Covid-19 Immunisation Taskforce (CITF) kepada pengarah Hospital Miri untuk kegunaan di PPV ini.

Selain itu, 40 orang sukarelawan juga telah ditempatkan di sini bagi membantu melancarkan lagi proses pemberian vaksin di PPV tersebut.

Dalam pada itu, bagi mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas (Daerah Miri sahaja) dan masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 atau pun masih belum menerima pemberitahuan janji temu vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera, mereka seharusnya berhubung terus dengan JPBB Miri melalui WhatsApp di nombor 011-59284348 atau 011-59424290 dengan menyertakan butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat lengkap untuk tujuan dikoordinasikan oleh JPBB Miri.

“Kita kini menggunakan kaedah ‘hybrid’ bagi pendaftaran vaksin Covid-19 di mana pendaftaran secara manual juga dilakukan di samping menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sila hubungi pejabat Residen Bahagian Miri melalui aplikasi WhatsApp seperti nombor yang telah ditetapkan,” Lee menjelaskan.

JPBB Miri mengingatkan orang ramai untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 secara ketat.— DayakDaily