Minuman keras bernilai hampir RM200k dirampas di Bau

Penguatkuasa sedang memeriksa minuman keras yang disembunyikan di dalam sebuah premis di pekan Bau.

KUCHING, Sept 3: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah Bau telah berjaya merampas minuman keras dianggarkan berjumlah RM190,743 termasuk cukai dalam satu operasi khas di pekan Bau.

Menurut pengarah JKDM Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, dalam satu operasi khas Ambang Merdeka 2020 pada Ogos 30, bertindak atas maklumat, pasukan JKDM dari cawangan operasi darat Kuching dan polis Bau telah membuat serbuan dan pemeriksaan rapi ke atas sebuah premis yang disyaki menjual minuman keras tanpa lulus Kastam.

“Dari hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut, mereka telah menjumpai sebanyak 7,111 liter minuman keras, dengan jumlah dianggarkan bernilai sebanyak RM75,624 serta jumlah cukai terlibat dianggarkan berjumlah RM115,119.


“Barangan kes disita dan dibawa ke stor penguatkuasaan Demak Laut untuk simpan selamat dan siasatan lanjut,” kata Sharifah Halimah dalam satu kenyataan media hari ini.

Tiga individu yang mengurus pengedaran dan penjualan minuman keras di premis terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan.

Menurut Sharifah Halimah, minuman keras tersebut dijual secara terbuka dan diletakkan bercampur dengan minuman keras yang telah dibayar cukai.

Pemeriksaan rapi ke atas minuman keras mendapati tiada stem cukai dilekatkan pada minuman keras tersebut.

“Pemilik premis juga cuba mengaburi pihak penguatkuasa dengan menyimpan minuman keras di disebelah premis yang disewa sebagai stor tertutup. Komoditi minuman keras pelbagai jenama tersebut merupakan stok yang baru tiba untuk bekalan dan pasaran di ambang Merdeka sempena meraikan sambutan Hari Merdeka Ogos 31 di pekan Bau,” tambah beliau.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, di mana jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000.00 mengikut mana mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1- 800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.

Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.—DayakDaily