Minggu kempen derma darah pada Jan 31-Feb 3 ini

Promo Minggu Kempen Derma Darah dan Kesihatan Pra Tahun Baru Cina 2019.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 28: Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (TDHUS) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Unit Promosi Kesihatan dan Pendidikan Pesakit dan Jabatan Pembedahan Plastik, Hospital Umum Sarawak akan mengadakan Minggu Kempen Derma Darah dan Kesihatan Pra Tahun Baru Cina pada Januari 31 hingga Februari 3 depan bertempat di AEON Mall, Kuching.

TDHUS dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, objektif penganjuran program tersebut adalah untuk menambah pengetahuan tentang pendermaan darah dan menggalakkan orang awam untuk mengunjungi Pusat Kutipan Darah di seluruh negeri bagi memastikan stok darah sentiasa mencukupi terutama ketika musim perayaan.


Kata TDHUS, selain itu, program sama diharapkan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai dalam isu kesihatan dan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai digalakkan untuk hadir ke program yang julung kalinya diadakan di pusat membeli belah yang terkemuka di bandar raya Kuching.

“Pelbagai maklumat berkaitan dengan isu-isu kesihatan terkini diketengahkan dalam pameran seperti Rabies, Denggi dan Chikungunya,” kata TDHUS hari ini.

TDHUS menambah, antara lain, menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina, program itu juga memfokuskan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan untuk mencegah kebakaran terutama ketika musim perayaan melalui Pameran “Be Burn Aware” oleh Jabatan Pembedahan Plastik HUS.

Ujar TDHUS, pameran derma organ yang dianjurkan oleh Unit Promosi Kesihatan dan Pendidikan Pesakit HUS pula diadakan untuk menjelaskan bagaimana prosedur derma organ yang selama ini kurang diberi perhatian oleh masyarakat.

“Kesemua pameran ini berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Pemeriksaan kesihatan percuma juga diadakan pada hari pertama dan kedua program ini berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 2.30 petang.

“Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mengetahui tahap kesihatan mereka digalakkan untuk mengambil bahagian dalam pemeriksaan kesihatan ini,” kata TDHUS.

TDHUS menambah, kempen derma darah pula akan berlangsung pada 1 hingga 3 Februari ini dan para penderma yang telah cukup tempoh pendermaan dijemput untuk menderma darah bersama.

Ini adalah salah satu usaha TDHUS untuk meningkatkan stok bekalan darah di Hospital Umum Sarawak ketika musim perayaan.

“Kepada orang ramai yang berhasrat untuk menjadi penderma darah tetapi belum mempunyai keyakinan, anda digalakkan untuk melawat pameran kesedaran pendermaan darah sebagai satu cara menambahkan pengetahuan mengenai derma darah dengan lebih mendalam,” jelas TDHUS. — DayakDaily