Minggu epid ke-8: Kuching catat jumlah tertinggi dengan 28 kes Covid-19

Covid-19 (file photo)

KUCHING, 27 Feb: Minggu epid ke-8 kes positif Covid-19 menyaksikan daerah Kuching mencatatkan jumlah kes tertinggi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kuching mencatatkan 28 kes, manakala Daerah Miri, Bintulu dan Serian masing-masing mencatat 4 kes, diikuti Asajaya dengan 3 kes dan Bau dengan 2 kes.

Menurut JPBN, jumlah kes positif Covid-19 bagi minggu epid ke-8 menunjukkan penurunan berbanding minggu epid ke-7.


Sebanyak 51 kes dicatatkan pada minggu epid ke-8 berbanding 64 pada minggu sebelumnya.

“Ini menjadikan kes kumulatif setakat ini meningkat kepada 324,581 kes.

“Pada minggu epid ke-8, sebanyak 48 kes tergolong dalam kategori 1 dan 2, manakala tiga kes dicatatkan dalam kategori 3, 4 dan 5,” kata JPBN.

Tiada kematian direkodkan bagi minggu epid ke-8. — DayakDaily