Mikrochip untuk anjing peliharaan mungkin akan diperkenalkan bulan Mac

Datin Dona Drury-Wee - file pic
Advertisement

KUCHING, Feb 6: Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) menjangkakan anjing peliharaan berlesen di Sarawak akan mula mengunakan teknologi pengenalan mikrochip seawal bulan depan.

Presiden SSPCA, Datin Dona Drury-Wee berkata pihaknya telah dimaklumkan bahawa projek perintis pengunaan pengenalan mikrochip terbabit akan dilaksanakan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak kemungkinan Mac atau April depan.

“Jadi kamu boleh bertanya kepada (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak) Professor Datuk Dr Sim Kui Hian butirannya, saya fikir mereka akan mula melakukan projek perintis terbabit menjelang Mac atau April depan,” katanya ketika rumah terbuka Tahun Baru CIna beliau di Jalan Taman Liong Seng di sini, hari ini.

Advertisement

Dona berkata kementerian terbabit sedang menggubal undang-undang kecil bagi mula mengunakan teknologi mikrochip terbabit yang saiznya seperti sebutir beras dan akan dimasukan dibawah kulit belakang leher bawah anjing peliharaan berlesen.

“Kemungkinan mikrochip ini akan disediakan percuma, kerana saya dimaklumkan kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi memulakan pengunaan teknologi terbabit,” katanya.

Beliau berkata peruntukan itu bukan sahaja bagi mendapatkan mikrochip terbabit tetapi juga merangkumi keseluruhan penyediaan penggunaan sistem teknologi itu termasuk alat pembaca mikrochip dan juga pengumpulan dan keselamatan data.

Katanya melalui sistem teknologi mikrochip itu, doktor haiwan juga boleh mendapatkan maklumat dengan segera samada anjing berlesen terbabit sudah diberikan pemiliknya suntikan vaksin penyakit rabies setiap tahun, sambil mengemas kini rekod itu.

Berikutan wabak rabies yang melanda Sarawak semenjak Julai 2017, beliau menasihatkan semua pemilik anjing berlesen di negeri ini tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka itu berkeliaran di luar rumah kerana akan berisiko ditangkap pihak berkuasa tempatan.

“Kami juga tidak menyokong anjing dikawasan wabak rabies di negeri ini dihapuskan kesemuanya tetapi hanya mensasarkan haiwan itu yang telah dijangkiti,” katanya.

Ini kerana pihaknya khuatir ramai pemilik anjing di kawasan wabak akan membawa haiwan itu ke tempat lain kerana bimbangkan keselamatan haiwan peliharaan mereka dan ini seterusnya akan memburukkan lagi situasi pengawalan penyebaran wabak rabies di negeri ini. — DayakDaily

 

 

Advertisement