Mesyuarat kabinet esok bincang sekatan kemasukan dan kuarantin di Sarawak

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Okt: Mesyuarat kabinet negeri pada esok akan membincangkan sekatan kemasukan dan kuarantin semua warganegara Malaysia yang ingin masuk ke Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan sama ada sekatan kemasukan dan kuarantin diteruskan akan dibuat pada mesyuarat itu nanti.


“Kemasukan dan proses kuarantin akan berubah mengikut keadaan semasa wabak Covid-19.

“Hampir setiap hari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengadakan persidangan video.

“Pagi tadi pun ada dan kita belum putuskan sama ada melanjutkan sekatan dan kuarantin atau tidak,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur di sini hari ini.

Terdahulu Abdul Karim mempengerusikan mesyuarat berhubung Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2020.

Berhubung isu yang sama, beliau berpandangan bahawa sekatan kemasukan dan kuarantin dilonggarkan sedikit dengan mengambil kira kesannya kepada industri pelancongan.

Namun katanya, ia harus dilaksanakan secara selektif.

“Pada pandangan saya kita sekat kemasukan dari Sabah kerana kes di negeri tersebut terlampau banyak, beratus-ratus kes positif Covid-19 setiap hari.

“Di Semenanjung Malaysia pula yang meningkat adalah kes di dalam penjara dan kes-kes terpencil.

“Justeru, tidak mengapa jika kita buka pintu-pintu masuk seperti lapangan terbang,” kata Abdul Karim.

Tambah beliau lagi, JPBNS telah mengawal wabak Covid-19 di Sarawak dengan baik dan menjadi contoh kepada negeri lain di Malaysia. — DayakDaily