Mesti berani melaksanakan penggunaan teknologi digital dalam sektor pelancongan — KM

Abdul Karim (dua dari kanan) menunjukkan tanda bagus semasa Forum Pelancongan Digital.
Advertisement

KUCHING, Mac 9: Pemain industri pelancongan di negeri ini perlu berani mengaplikasikan penggunaan teknologi digital untuk memasarkan produk pelancongan kepada para pelancong di seluruh dunia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, perancangan serta perlaksanaan inisiatif teknologi digital juga harus diintegrasikan dalam rantaian nilai digital global sekali gus melonjakkan tahap kompetitif pemain industri pelancongan di Sarawak.

Sehubungan itu, jelasnya, agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan pemain industri tempatan perlu bekerjasama bagi memacu industri pelancongan negeri ini ke tahap lebih tinggi.

Advertisement

“Langkah tersebut perlu dilaksanakan bagi melonjakkan lagi sektor pelancongan untuk dapat bersaing dalam era ekonomi digital.

“Semua pihak perlu melihat secara serius dalam strategi pemasaran digital, reputasi dalam talian dan penggunaan media sosial serta aplikasi telefon bimbit bagi kemudahan para pelancong,” katanya pada Majlis Perasmian Forum Pelancongan Digital di sini hari ini.

Teks ucapan Abang Johari telah dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam forum tersebut, aplikasi pelancongan, Unimas Integrated Digital Tourism 4.0 yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah dilancarkan bagi mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.

Dalam pada itu, Abang Johari menambah, bagi memacu Sarawak mencapai status negeri maju, adalah penting bagi sektor korporat untuk memudah cara dan mewujudkan platform seperti forum berkenaan di Sarawak.

Katanya, berkongsi maklumat, melihat peluang perniagaan dan mewujudkan perdagangan bilateral antara negara Asean serta di rantau ini perlu diberi perhatian.

“Saya yakin forum ini dapat menjadi platform bagi memulakan kerjasama pintar dalam kalangan negara Asean bagi mempromosikan pelancongan digital,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement