KUCHING, 16 Jun: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan semalam mampu meningkatkan aktiviti ekonomi secara fisikal.
Justeru katanya, Medac menyokong penuh pelan tersebut yang merangkumi peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat seperti diumumkan perdana menteri.
“Medac optimis pemulihan secara berperingkat ini mampu memberi keseimbangan dalam membantu mempergiatkan kembali aktiviti ekonomi secara fiskal di mana dalam masa yang sama dapat melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.
“Strategi Pelan ini akan memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Junaidi, dianggarkan lebih 90 peratus usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dijangka akan berdepan risiko terjejas sekiranya PKP dilaksanakan secara berterusan.
Jelas beliau, sebahagian besar mereka hanya mempunyai tempoh selama tiga hingga enam bulan untuk bertahan, seterusnya tidak mampu lagi untuk menanggung kos operasi dan sebagainya.
Dalam pada itu tambah beliau, kaji selidik yang dilaksanakan sejak Mac lalu mendapati golongan usahawan wanita antara yang paling teruk terjejas berikutan kebanyakan daripada mereka menjalankan konsep perniagaan secara perkhidmatan.
“Oleh itu, Medac menyarankan agar usahawan IKS untuk beralih ke arah perniagaan yang berasaskan digital kerana ia mampu meraih keuntungan yang lebih besar ketika pandemik.
“Harapan saya agar kita semua bekerjasama mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar kadar jangkitan Covid-19 dapat turun dan sektor ekonomi kembali pulih dan dapat beroperasi seperti biasa,” katanya. — DayakDaily