KUCHING, 4 Jan: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan terus memberi tumpuan untuk membantu peniaga mikro dan informal serta golongan usahawan yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
Menurut menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hasil kajian mendapati para peniaga khususnya mereka yang terlibat dalam sektor mikro serta ‘informal’ masih belum dapat memulihkan perniagaan mereka sepenuhnya.
“Disebalik kepelbagaian insentif yang ditawarkan, hakikatnya adalah golongan ini masih menderita kerana mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan yang mencukupi.
“Malah ramai diantara mereka yang tidak mempunyai pelan kelangsungan perniagaan dan tidak mengetahui bagaimana untuk memohon bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Wan Junaidi berkata demikian ketika menyampaikan amanat tahun baharu dan melancarkan halatuju Medac bagi tahun 2021 di Putrajaya hari ini.
Selain itu, tambah beliau, Medac juga mendapati bahawa terdapat ketidakpadanan diantara bantuan yang disediakan oleh kerajaan dengan keperluan sebenar usahawan.
Misalnya kos bagi mengadaptasi digitalisasi oleh usahawan mikro tidak memerlukan jumlah pembiayaan yang terlalu besar berbanding dengan apa yang ditawarkan kepada mereka.
Katanya, bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan melalui bank komersil pula didapati sukar untuk dimanfaatkan oleh kebanyakan usahawan terutamanya usahawan mikro.
“Kita perlu melakukan perubahan yang sewajarnya berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.
“Bersedia untuk berubah ke arah memperbaiki, mempermudahkan dan memperkemaskan proses-proses yang sedia ada di kementerian serta agensi supaya ianya menjadi lebih efektif, berkesan dan mesra pelanggan.
“Kita perlu lebih dekat dengan rakyat supaya dapat memahami situasi mereka dan segera membantu,” ujar Wan Junaidi.
Menyedari akan implikasi besar Covid-19 ke atas usahawan, Medac katanya telah membangunkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi khusus untuk memastikan kelestarian dan pemulihan operasi perniagaan usahawan,termasuklah perusahaan mikro, PKS, koperasi, usahawan sosial dan usahawan ‘informal’.
“Bagi pelaksanaan Fasa Pertama bermula Mei sehingga Disember 2020, sebanyak 20 program telah dilaksanakan dengan peruntukan RM171 juta kepada 12,138 penerima manfaat dimana 96.52 peratus dalam kalangan Bumiputera.
“Fasa kedua pula akan bermula pada Januari sehingga Mei 2021 dengan peruntukan sebanyak RM17.1 juta,” tambah beliau.
Wan Junaidi turut berkata, sehingga Disember 2020, Medac juga telah menawarkan bantuan pembiayaan kepada usahawan yang terjejas berjumlah RM1.48 bilion.
Pembiayaan disalurkan melalui agensi seperti SME Bank, Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada 53,449 penerima manfaat. — DayakDaily