Medac beri dana mencecah RM1.15 juta kepada ‘riders’ di Sarawak setakat ini

Wan Junaidi (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen MOU di antara wakil SME Corp Malaysia dan Serba Dinamik Holdings Berhad ketika Majlis Penutupan Program Tube 7.0 Negeri Sarawak di D'Virtual Park.

KOTA SAMARAHAN, 30 Ogos: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) setakat ini telah memberikan dana skim pembiayaan Tekun Mobilepreneur mencecah RM1.15 juta kepada usahawan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal atau ‘rider’ di Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dibawah skim terbabit setiap ‘rider’ akan menerima dana itu maksima sehingga RM10,000 dan disalurkan kementerian itu menerusi agensi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

“Setakat ini kita sudah memberi (dana Tekun Mobilepreneur) di Sarawak kepada seramai 122 orang ‘riders’, jumlah (dana) yang telah disalurkan ialah RM1.15 juta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) 7.0 Negeri Sarawak di D’Virtual Park, di sini, semalam.


Tekun Mobilepreneur bagi memberi peluang menjana pendapatan kepada golongan yang hilang punca pendapatan serta terjejas akibat penularan Covid-19 dan boleh digunakan untuk pembelian motosikal, baik pulih motosikal, pendaftaran bersama syarikat e-hailing dan modal pusingan.

Wan Junaidi berkata bagi seluruh negara pula, setakat ini kementerian itu sudah memberikan dana Tekun Mobilepreneur terbabit mencecah RM10.95 juta kepada seramai 1,363 riders.

Berikutan jumlah ‘rider’ yang menerima dana itu hampir mencecah 1,500 orang di negara ini, beliau juga menyarankan ‘rider’ terbabit menubuhkan koperasi sendiri dan kementerian itu boleh berunding bagi syarikat terbabit menjual syer mereka kepada koperasi itu.

“Jadi, kalau ‘rider’ itu yang sudah berusia dan tidak mahu lagi menunggang motosikal, mereka boleh duduk sahaja di pejabat, kerana ada memegang syer dalam syarikat,” katanya.

Selain itu, Wan Junaidi berkata kementerian terbabit berharap dapat membangunkan seramai 100 orang jutawan dari golongan usahawan mikro di negara ini setiap tahun.

“Dengan ada bantuan dari sektor swasta seperti Serba Dinamik (Holdings Berhad) ini, saya cukup yakin kita boleh membangunkan usahawan terbabit,” katanya dan meminta lebih banyak syarikat besar mengikut jejak langkah Serba Dinamik Holdings Berhad membantu melahirkan usahawan di kalangan rakyat tempatan.

Majlis ini juga turut menyaksikan penyerahan ‘mock cheque’ untuk jumlah sebanyak RM498,877 kepada usahawan iaitu kepada empat orang penerima bantuan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (Beep) yang keseluruhannya bernilai RM179,377 dan tiga orang penerima bantuan Business Scale-Up Programme (Biz-Up) yang keseluruhannya bernilai RM319,500.

Manakala bagi membantu capaian usahawan kepada digitalisasi dan kemudahan infrastruktur yang ada, di majlis itu juga menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) di antara SME Corp Malaysia dan Serba Dinamik Holdings Berhad.

Ini bagi kedua pihak akan menjalinkan kerjasama mengukuhkan pembangunan dan pelaksanaan program Hub Inovasi dan ‘Urban Garage’ untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.

Dibawah kerjasama ini, Serba Dinamik yang menjadi rakan strategik akan membangunkan kemudahan infrastruktur ‘Virtual Reality’ (VR) dan ‘Augmented Reality’ (AR) yang dikenali sebagai Virtual Park.

Manakala SME Corp Malaysia akan merangka dan melaksanakan program pembangunan kapasiti serta menyediakan khidmat nasihat bagi mengunapakai peralatan dan perkakasan digital di dalam operasi perniagaan kepada usahawan setempat. — DayakDaily