MBKS: Pasar Stutong, Petanak dan Kenyalang selamat dikunjung

Wee bercakap kepada pemberita di Kuching hari ini (April 8, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 8: Pasar Stutong, Petanak dan Kenyalang yang dibawah seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dijamin selamat dikunjungi.

Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng berkata, pihak majlis sentiasa memastikan ketiga-tiga pasar tersebut bersih untuk keselesaan pengunjung.


“Sebaik sahaja pasar ditutup setiap hari, pihak majlis akan melakukan kerja-kerja pembersihan dan ini telah menjadi amalan semenjak pasar ini diwujudkan.

“Justeru, orang ramai tidak perlu risau dengan tahap keselamatan kesihatan di pasar-pasar tersebut,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Menurut Wee, walaupun proses nyah cemar telah dilakukan di ketiga-tiga pasar, perkara paling penting adalah untuk memastikan ia sentiasa bersih.

Katanya, semburan nyah cemar mungkin berkesan untuk beberapa hari sahaja dan jika kebersihan tidak dikekalkan, ia bakal mengugat kesihatan pengunjung.

“Ketika menghadapi penularan wabak Covid-19 ini, kita telah menempatkan kakitangan majlis di pintu masuk ke setiap pasar.

“Mereka melakukan pemeriksaan suhu badan pengunjung selain menasihati pengunjung agar mematuhi amalan penjarakan sosial.

“Jumlah pengunjung pada satu-satu masa juga dihadkan kepada 50 hingga 60 orang,” katanya.

Pada sidang media itu juga, Wee turut melancarkan aplikasi QMUNITY yang boleh membantu mengesan pergerakan individu dan kontaknya disetiap lokasi.

Menurut Wee lagi, aplikasi tersebut boleh membantu kerajaan dalam menangani penularan Covid-19 dan ia merupakan satu projek tanggungawab
sosial (CSR) MBKS.

“Buat permulaan, kita akan mempromosikan penggunaan aplikasi ini kepada orang ramai ini di Pasar Stutong,” katanya sambil berkata ia adalah hasil kerjasama dengan syarikat tempatan dan Huawei Cloud. — DayakDaily