Mayat tanpa kepala ditemui di Sg Seterap Lingga, dipercayai warga Myanmar yang hilang

Mayat mangsa dibawa ke darat oleh pasukan penyelamat.

SRI AMAN, 9 Feb: Mayat tanpa kepala dan tangan dipercayai lelaki warga Myanmar yang dilaporkan hilang sejak Isnin (7 Feb) lalu ditemui di Sungai Seterap Lingga, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat tersebut ditemui oleh penduduk kampung dan pasukan penyelamat kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa, 35 tahun, dilaporkan terjatuh.

“Komander operasi melaporkan mayat dipercayai mangsa yang hilang ditemukan penduduk kampung dan pasukan penyelamat pada 7.30 pagi.


“Keadaan mayat ketika ditemukan, tidak sempurna di mana kedua-dua tangan dan kepala mangsa didapati hilang disyaki dibaham buaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Bomba dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi ditamatkan pada jam 9.10 pagi.

Mangsa dilaporkan hilang selepas dikatakan terjatuh dari atas sebuah kapal ketika sedang melakukan kerja-kerja mengepam minyak sekitar jam 10.50 pagi Isnin.

Laporan kehilangan mangsa telah dibuat oleh rakan sekerjanya sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan selepas itu.

Operasi SAR tersebut turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam. — DayakDaily