Mayat lelaki yang reput ditemui di kawasan semak

Kelihatan mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan reput.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 28: Seorang lelaki tergamam apabila menemui mayat seorang lelaki yang dalam keadaan mereput di Jalan Matang Jaya berhampiran Courts Mammoth di sini hari ini.

Panik dengan penemuan mayat tersebut, lelaki itu kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut kira-kira pukul 2.45 petang.


Difahamkan, mangsa yang ditemui mati itu dikenalpasti sebagai Wong Awain berusia 76 tahun.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati mayat reput itu ditemui di dalam kawasan semak.

Katanya, semasa ditemui mayat dijumpai dalam keadaan terlentang iaitu lebih kurang 5 meter dari jalan utama.

“Pemeriksaan lanjut mendapati baju mangsa masih lagi dalam keadaan elok, seluar panjang jenis jeans serta barang-barang mangsa termasuk beg silang warna coklat serta dompet dijumpai jarak lebih kurang 10 meter dari si mati.

“Hasil pemeriksaan, wang tunai serta rantai tangan emas yang dipakaikan sebelah tangan milik si mati masih ada lagi,” katanya di sini hari ini.

Sumber menambah, pemeriksaan di sekitar kawasan tempat kejadian tiada menjumpai lain-lain barang kes.

Katanya, hasil pemeriksaan pihak pakar patologi Hospital Umum Sarawak mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada tubuh badan si mati.

“Setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily