Mayat lelaki terapung ditemui di Kuala Baram

Mayat ditemui terapung di dalam parit sebuah ladang di Kuala Baram.

Oleh Brad Rantayy

MARUDI, 21 Dis: Sekumpulan pekerja ladang sawit Liku, Kuala Baram terkejut apabila menemui mayat terapung seorang lelaki pada petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Baram DSP Joe Hang, ketika dihubungi hari ini, penemuan dibuat sekitar jam 3.30 petang Ahad lepas.


“Mayat lengkap berpakaian itu ditemui terapung di dalam parit besar di kawasan ladang oleh sekumpulan pekerja yang kebetulan lalu di situ,” katanya.

Beliau menambah, mereka kemudian segera memaklumkan pihak polis mengenai penemuan itu.

“Kita percaya mayat telah berada di dalam parit berkenaan lebih 24 jam,” katanya.

Kes dibuka sebagai mati mengejut, kerana tiada unsur-unsur jenayah pada badan mayat.

Dipercayai mangsa telah terjatuh ke dalam parit tersebut sebelum pengsan.

Mayat, yang dikenalpasti sebagai Sylvester Ulin Jugah berusia 26 tahun, telah dihantar ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat. — DayakDaily