Oleh Dean Adam
KUCHING, Jan 14: Seorang penduduk kampung yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki yang hampir reput di bawah sebuah jambatan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kambug, Padawan, malam semalam.
Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui kira-kira pukul 7.10 malam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, sejurus menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan tindakan lanjut.
Katanya, apabila tiba, pasukan polis mendapati kedudukan mayat mangsa ditemui kira-kira 15 meter dari atas jambatan di kampung berkenaan.
“Siasatan awal mendapati keadaan mayat mangsa hampir reput dan dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira tiga hari.
“Ketika ditemui, mangsa masih lengkap berpakaian, namun hanya keadaan fizikalnya sudah berulat dan berbau busuk,” katanya di sini hari ini.
Aidil menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta untuk tampil membuat laporan untuk membantu siasatan.
“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily