Oleh Dean Adam
SIBU, Jan 5: Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan terapung di Batang Rajang di sini hari ini.
Mayat tanpa sebarang identiti itu ditemui kira-kira pukul 8.15 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dipercayai terjun dari jeti bot ekspres di sini semalam.
Jurucakap polis berkata, mayat mangsa yang ditemui bukannya lelaki yang disyaki terjun ke dalam sungai tersebut semalam.
Katanya, mayat lelaki berkenaan ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa yang terjun di situ semalam.
“Mayat lelaki yang ditemui hari ini bukan mangsa yang dipercayai terjun dari jeti bot ekspres pada tengah hari semalam.
“Ini kerana terdapat kad pekerja yang ditemui pada anggota badan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Buat masa ini, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. — DayakDaily