Mawan terima 1,400 borang keahlian PBB dari kawasan Pakan

Mawan (lima dari kiri) menerima borang keahlian PBB daripada salah seorang tuai rumah pada satu majlis di Sarikei.

KUCHING, 15 Jun: Adun Pakan Tan Sri William Mawan hari ini menerima borang keahlian Parti Pesaka Bumiputera (PBB) daripada 19 Tuai Rumah dari kawasan Sebangkoi, Dayat, Ulu Sarikei, Bayong dan Ribong pada satu majlis yang diadakan di Sarikei.

Menurut Tuai Rumah Nyuka Itam dari Lubok Lemba, Ulu Sarikei, ia adalah sebagai tanda sokongan kepada Mawan untuk terus menjadi wakil rakyat mereka.

Pada majlis yang sama, Tr Nyuka turut menyerahkan sebanyak 1,400 borang keahlian PBB daripada penduduk rumah panjang kawasan tersebut dan juga daripada kawasan Pakan.

Katanya, ramai lagi rakyat akan memohon untuk menjadi ahli PBB dalam masa terdekat ini terutama setelah tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) nanti.

Dalam pada itu, Mawan ketika dihubungi berkata, beliau bersyukur dengan sokongan yang telah ditunjukkan oleh pemimpin dan penduduk setempat.


“Dalam kita berusaha mendekati rakyat, mereka telah menunjukkan sokongan tanpa berbelah bahagi serta menyuarakan keinginan menyertai PBB.

“Ini sinonim dengan dasar Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan rakyat,” ujar Mawan.-DayakDaily