Mawan: Pertahankan Pakan sebagai zon hijau Covid-19

Tan Sri William Mawan Ikom

KUCHING, APR 22: Penduduk di kawasan DUN Pakan disaran berkerjasama mempertahankan status kawasan tersebut sebagai zon hijau wabak Covid-19.

Untuk mencapai matlamat tersebut, ADUN Pakan Tan Sri William Mawan menyeru penduduk Pakan agar sentiasa mematuhi arahan Perintah KawalanPergerakan(PKP).

“Adalah amat penting bagi rakyat sentiasa patuh kepada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.


“Matlamat kerajaan adalah untuk memutuskan rantaian wabak tersebut, jadi kerjasama dari semua pihak amatlah diperlukan bagi mencapai tujuan berkenaan,” kata Mawan.

Beliau berkata demikian setelah mempengerusikan Mesyuarat mengenai hal bencana Covid-19 di Bilik Mesyuarat Daerah Pakan hari ini.

Mesyuarat turut membincangkan isu-isu berbangkit sepanjang tempoh PKP melalui taklimat ringkas oleh agensi agensi kerajaan seperti PDRM, Klinik, Jabatan Kebajikan dan RELA.

Menurut Mawan lagi, mana-mana nama ketua isi rumah (KIR) yang mungkin ada tercicir dari menerima bantuan haruslah dibantu dengan segera.

“Pengagihan bantuan mestilah berpusat di Jawatankuasa Bencana Bahagian yang kemudian diturunkan kepada Jawatankuasa Bencana Daerah.

“Untuk memastikan pengagihan makanan mencapai golongan sasar, sekiranya ada NGO atau individu yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan hendaklah melalui jawatankuasa tersebut terlebih dahulu,” ujar Mawan.

Turut hadir pada mesyuarat berkenaan adalah Ketua Polis Daerah (KPD) Julau DSP Isumuni Umar, Pegawai Daerah Pakan Seruji Ludin dan wakil-wakil agensi kerajaan yang lain.—DayakDaily