Mateding lokasi strategik bagi projek pendaratan hasil minyak dan gas, Hospital Baru Mukah

Abdul Yakub Arbi

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mei: Zon Industri Mateding lokasi strategik untuk penubuhan projek pendaratan hasil minyak dan gas, tegas Adun Balingian Abdul Yakub Arbi.

Menurut Abdul Yakub, Petronas telah mengumumkan satu penemuan minyak dan gas baharu di telaga cari gali ‘wildcat’ Sirung-1 dalam Blok SK405B Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) pada 30 Mac 2021 yang lalu.


“Penemuan telaga minyak ini terletak di perairan cetek wilayah Balingian.

“Tidak salah kiranya, kami mencadangkan sekali lagi berkenaan projek pendaratan hasil minyak dan gas di Mateding untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan penghargaan atas ucapan pembukaan Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 hari ini.

Tambah Abdul Yakub, projek ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang baharu untuk dimanfaatkan oleh rakyat dan pemain industri di bahagian Mukah secara keseluruhannya.

Beliau juga mencadangkan Mateding sebagai lokasi strategik bagi cadangan pembinaan Hospital Baru Mukah.

Katanya, ini adalah kerana Mateding melibatkan populasi penduduk di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tamin, Kakus, Tellian dan Balingian.

Dalam ucapan yang sama, Abdul Yakub memohon kerajaan untuk memberi perhatian khusus kepada beberapa sekolah daif di Balingian.

“SK Jebungan yang terdedah kepada risiko hakisan tebingan sungai. Pada hujung tahun lepas, jeti sekolah ini telah tenggelam bersama arus sungai yang saban hari menghakis tebing.

“SK Kenyana yang setiap kali musim tengkujuh berhadapan dengan masalah banjir.

“Kita dimaklumkan Pejabat Pendidikan Mukah, bahawa SK Kuala Balingian perlu dibaikpulih memandangkan sekolah tersebut dianggarkan 80 peratus tahap kedaifannya,” ujar beliau.

Abdul Yakub juga memohon kepada kerajaan agar projek menghubungkan jalan Benawa ke 5 buah rumah panjang dibina segera.

Katanya, ia melibatkan Rh. Tundan, Rh. Liai, Rh. Mikai, Rh. Ngelantar dan Rh. Jamit.

“Ketika ini, mereka hanya menggunakan perahu untuk menyeberangi Batang Balingian untuk urusan harian mereka.

“Keadaan ini dilihat lebih menyukarkan mereka apabila berlaku kecemasan,” ujar Abdul Arbi. — DayakDaily