This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 2 Sept: Cadangan memperkenalkan mata wang sendiri untuk Sarawak adalah pandangan peribadi Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Itu adalah isu yang rumit, ia adalah pandangan Nanta.
“Kita sudah ada matawang Malaysia, kita ikut mata wang Malaysia lah, ” kata Abang Johari ketika ditemui selesai Perasmian Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Auditorium Muzeum Budaya Borneo hari ini.
Pada semalam, Nanta yang juga Setiausaha Agong Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, cadangan adalah berdasarkan keadaan ekonomi yang tidak menentu di Malaysia.
Katanya, ia antara langkah yang boleh dipertimbangkan jika ekonomi kurang memberangsangkan berterusan.
“Jika ekonomi Sarawak begitu baik namun ekonomi negara sebaliknya, mungkin negeri ini akan mempunyai mata wang sendiri.
“Saya berharap orang ramai tidak menggelar saya pengkhianat negara. Tetapi saya bercakap dengan serius. Jika kita begitu baik dalam membangunkan ekonomi, secara pengiraan ekonomi negara sepatutnya kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika siaran podcast khas dengan Bual Studio dan Reka Sound untuk Merdeka dan Hari Malaysia bertajuk ‘Dari Malaya ke Malaysia: 60 Tahun’.
Pada Julai lepas, Abang Johari memaklumkan Sarawak kini diiktiraf sebagai antara berpendapatan tinggi berdasarkan data terkini Bank Dunia.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi kerana pendapatan negara kasar (GNI) per kapitanya melebihi AS$13,205 (RM61,608). — DayakDaily