Masyarakat Iban Serian guna kaedah DBNA sukat tanah hak adat Bumiputera

Uggah (lapan kanan) bersama ketua-ketua masyarakat Iban Bahagian Serian di Majlis Serumpu Makai Lemai.

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 25 Feb: Masyarakat Iban di kawasan Serian akan menggunakan kaedah ‘Dokumentasi Tanah NCR Modul DBNA’ untuk proses pengukuran Tanah Hak Adat (NCR) Bumiputera mereka.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia satu langkah yang tepat kerana kaedah yang diguna pakai oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) itu telah membawa kejayaan dalam proses pengukuran tanah masyarakat Bidayuh.


“Kaedah ini juga telah diadaptasi dan berjaya dilaksanakan di kawasan Betong untuk mempercepatkan pengukuran lot individu,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Serumpu Makai Lemai anjuran Ketua Masyarakat Iban Bahagian Serian di Dewan Masyarakat Serian malam tadi.

Tambah Uggah, menerusi kaedah DBNA itu, para penduduk harus mengenal pasti sempadan lot tanah dan data tersebut diproses.

Jelasnya, data yang telah siap diproses akan diberikan kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei untuk meneruskan kerja-kerja ukur yang sebenar.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah dan Temenggung (Iban) Dato Harrison Lunsa. — DayakDaily