Oleh Chris Bishop
KUCHING, 2 Mei: Penasihat Sarakup Indu Dayak Sarawak Cawangan Sibu Dato Ir Alice Jawan menggesa masyarakat Dayak khususnya Iban untuk tidak balik ke rumah panjang masing-masing bagi sambutan Hari Gawai pada Jun ini.
Menurut beliau, masyarakat Dayak perlu terus berada di rumah masing-masing susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri yang mana telah pun merebak di beberapa buah rumah panjang.
“Dalam tempoh beberapa bulan ini sejak Disember tahun lepas, kes-kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat dan telah pun merebak di beberapa buah rumah panjang.
“Saya mengajak masyarakat semua untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga. Jika pada sambutan Hari Gawai dan Krismas tahun lepas kita tidak balik ke rumah panjang, tahun ini pun kita boleh melakukannya.
“Kita bersabar dahulu dan jangan ke sana sini mengunjungi keluarga dan sahabat lain,” kata Alice.
Beliau berkata demikian pada sesi forum ‘live’ Facebook bersama Timbalan Pengerusi Pejabat Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) Wong Ching Hung hari ini.
Tambah Alice yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti, perayaan Hari Gawai masih boleh disambut dengan norma baharu iaitu menggunakan teknologi sedia ada.
Katanya, kemudahan internet kini sudah berada di kebanyakan rumah panjang dan aplikasi seperti zoom dan google chat boleh dimanfaat untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada saudara mara yang jauh.
“Melalui aplikasi ini, saya masih boleh minum air tuak bersama ahli keluarga dan sahabat lain yang berada di rumah panjang.
“Maka gunakanlah teknologi untuk sambutan gawai pada kali ini,” kata Alice.
Turut serta di dalam forum ialah Pakar Kesihatan Perubatan Awam Dr Johnny Pangkas, Pakar Obstetrics dan Gynaekologi Hospital Sibu Dr Sherlyn Wong dan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Bintulu Dr Rawa Bau. — DayakDaily