Masing seorang pemimpin berwibawa, dihormati rakyat

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 31 OKT: Pemergian Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing pada awal pagi ini merupakan satu kehilangan besar bagi rakyat Sarawak.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, mendiang(Masing) ,72, adalah seorang pemimpin yang berwibawa yang dihormati oleh semua.

“Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa, beliau dihormati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.


“Kepimpinan beliau terserlah sepanjang penglibatan dalam bidang politik terutama dalam memperjuangkan nasib dan kesejahteraan rakyat di luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan, mendiang telah banyak membawa perubahan kepada rakyat di luar bandar khasnya di Kapit di sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.

Katanya, fokus perkhidmatan dan sasaran yang mendiang buat adalah bertujuan untuk kesejahteraan rakyat.

“Hasil titik peluh mendiang begitu cemerlang hingga menjadi contoh dan tauladan terbaik kepada pemimpin seangkatan dan juga pewaris kepimpinan negeri kita yang akan datang,” kata Abdul Karim.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.05 pagi di Pusat Perubatan Normah, Kuching

Mendiang yang juga Presiden PRS dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 28 September lalu akibat komplikasi selepas disahkan positif COVID-19.

Selepas kesihatannya semakin merosot, beliau dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah, minggu lalu. — DayakDaily