KUCHING, 2 Mac: Masalah banjir kilat yang sering melanda perumahan Taman Univista disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak dilakukan dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurut Pengerusi AJK Komuniti Taman Univista Boniface Lembang, setiap kali hujan lebat kawasan tersebut akan dilanda banjir kilat.
“Pada 19 Februari 2021 ketika seluruh penduduk Univista mendapat arahan menjalani kuarantin wajib di rumah, sekali lagi kawasan perumahan kami dilanda banjir kilat.
‘Ini mengakibatkan kerosakan harta benda serta kerugian dan adalah banjir kilat paling teruk pernah direkod dalam tempoh 10 tahun ini,” katanya.
Tambah Boniface, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan ADUN Stakan Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud.
Justeru katanya, kedua-dua wakil rakyat itu dijangka turun padang meninjau perkara tersebut pada 5 Mac ini. – DayakDaily