Oleh Brad Rantayy
MARUDI, 23 Mac: Susulan hujan lebat sejak petang semalam, beberapa kawasan di Marudi dilaporkan dinaiki air.
Susulan itu, pemantuan banjir telah dijalankan pagi tadi di sekitar bandar Marudi termasuk empat buah kampung berhampiran terjejas banjir.
Sepanjang pemantauan yang dilakukan anggota dari Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Marudi yang diketuai oleh Insp Erwin Geoffry Ussan (KBPJKK IPD Marudi), penduduk terjejas turut diingatkan agar sentiasa berhati-hati memandangkan keadan cuaca krtika ini agak tidak menentu.
“Sepanjang pemantauan dijalankan, mendapati bahawa paras air di kawasan Marudi semakin meningkat berbanding semalam dan tidak sesuai bagi kenderaan kecil untuk melalui pekan Marudi,” ujar Erwin.
Jelas beliau, banjir tersebut bermula dari Feri Marudi dimana paras air Sungai Baram semakin meningkat akibat daripada cuaca hujan berturut-turut beberapa hari yang lalu.
Antara perkampungan yang dilaporkan terjejas adalah Kampung Narum, Kampung Baru, Kampung Dagang dan Kampung Nakhoda.
Pekan Marudi juga dinaiki air termasuk Masjid As-Salam.
Banjir sebegini merupakan kali kedua berlaku di Daerah Marudi sejak dua bulan yang lalu.
Masyarakat Marudi diminta untuk berhati-hati memandangkan cuaca yang tidak menentu.
“Masyarakat Marudi juga dinasihatkan supaya melaporkan segera sebarang kerosakan dan kemalangan yang berlaku akibat banjir dengan kadar segera,” kata Edwin.
Tambahnya, pihak BPJKK IPD Marudi akan membuat pemantauan berkala dari masa ke semasa.