Oleh Dean Adam
KUCHING, Sept 5: Maritim Negeri Sarawak berjaya menahan empat buah kapal dan 44 nelayan warga Vietnam di Barat Laut Tanjung Sirik, pada Selasa.
Kesemua kapal tersebut ditahan antara pukul 6.30 petang hingga 8 malam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Komander Maritim Hamiludin Che Awang berkata, selain menyita keempat-empat kapal itu, anggota Maritim turut merampas kira-kira 42.5 tan hasil laut dan 37,870 liter minyak diesel.
Katanya, hasil laut yang dirampas itu termasuk 31 tan pelbagai jenis ikan dan 11.5 tan merupakan ikan baja.
“Nilai keseluruhan rampasan adalah melebihi RM4 juta termasuk nilai empat buah kapal, ikan, minyak diesel dan juga pelbagai peralatan menangkap ikan,” katanya di sini hari ini.
Hamiludin menambah, siasatan awal mendapati kesemua nelayan termasuk tekong vessel berkenaan berusia antara 16 hingga 54 tahun.
Katanya, mereka ditahan selepas disyaki menceroboh perairan negara dan menangkap ikan secara haram.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran,” ujarnya. — DayakDaily