Maritim Sarawak berjaya tahan 57 bot nelayan asing setakat November lepas

Malaysian Maritime Enforcement Agency logo (sourced from https://www.mmea.gov.my/)
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 11: Sebanyak 57 buah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara di Sarawak telah ditahan sepanjang 11 bulan pertama tahun ini.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama, Robert Teh Geok Chuan berkata, bot nelayan warga Vietnam merupakan antara yang banyak ditangkap atas kesalahan menangkap ikan secara haram di perairan negara.

Advertisement

Jelasnya, kebanyakan bot nelayan asing dikesan menceroboh perairan negara di sekitar perairan Bintulu dan Miri.

“Bagaimanapun, jumlah tangkapan setakat November lepas menunjukkan penurunan sebanyak 51 kes berbanding tempoh sama tahun 2017.

“Tahun lepas, kita telah melakukan 108 tangkapan ke atas bot-bot nelayan asing yang mencerobohi perairan negara di negeri ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Robert menambah, pihaknya juga kini menggunakan sistem pengenalan automatik (AIS) bagi mengenal pasti bot-bot yang berada di perairan negeri ini.

Katanya, sistem AIS juga dapat memberi isyarat amaran atau kecemasan segera kepada pihak keselamatan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di laut.

“Sekiranya tiada sistem pengesan, bagaimana kita dapat membantu dengan cepat sekiranya mereka hilang di laut atau ada sebarang kecelakan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement