Maritim Malaysia Zon Bintulu lancar ops SAR kesan lelaki hilang di laut

Pasukan SAR melakukan perbincangan mengenai operasi yang dijalankan.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mei 16: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu hari ini telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan hilang yang dilaporkan hilang di laut sejak Mei 13 lalu.

Berdasarkan laporan diterima, Aziz Jaafar Atahar, 69, dikatakan tidak balik ke rumah selepas keluar ke laut untuk menangkap ikan pada hari kejadian.


Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, operasi SAR itu telah dijalankan pada pukul 7 pagi.

Jelasnya, operasi SAR yang dilakukan itu melibatkan kawasan pencarian 50 batu nautika persegi atau kira-kira 80 kilometer persegi dari pantai Batang Kemena hingga ke laut.

“Bagaimanapun, setakat ini pasukan SAR belum menemui sebarang petunjuk positif dan Aziz masih belum ditemui,” katanya di sini hari ini.

Tambah Effendy, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut terlibat dalam operasi berkenaan.

DayakDaily semalam melaporkan seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar ke laut untuk menangkap ikan, Isnin lepas.

Bagaimanapun, pihak bomba hanya dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa daripada pihak polis kira-kira pukul 4.30 petang semalam. — DayakDaily