Maritim agih bingkisan Aidilfitri kepada anggota yang bertugas pada Hari Raya

Zin Azman (tengah) mengagihkan bingkisan kepada seorang anggota yang bertugas sepanjang Aidilfitri.

KUCHING, 14 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak mengagihkan bingkisan Aidilfitri kepada semua pegawai dan anggota yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, Komtas, di sini  semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, bingkisan Hari Raya ini adalah sumbangan daripada Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Putrajaya dan merupakan satu tradisi dalam menghargai pengorbanan pegawai dan anggota yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Maritim Negeri Sarawak, seratus peratus pegawai dan anggota bertugas di sepanjang musim perayaan berganda ini iaitu Hari Raya Aidilfitri serta Hari Gawai.


Berikutan dua perayaan dalam tempoh masa yang hampir sama ini, Maritim Malaysia memfokuskan kepada membanteras aktiviti penyeludupan bunga api serta mercun di kawasan persempadanan negara, juga pergerakan penyeludupan masuk dan keluar PATI sempena musim perayaan di pintu masuk “hotspot” yang telah dikenal pasti melalui Operasi Khas Pagar Laut 1/2021.

Untuk rekod, KPI Maritim Malaysia Negeri Sarawak adalah dengan memastikan lima aset di laut setiap hari bagi menjaga perairan negeri Sarawak yang luas ini.

Maritim Negeri Sarawak menggesa agar komuniti maritim sentiasa mematuhi arahan serta SOP semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi memerangi wabak pandemik Covid-19.

Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, aduan serta makluman bekenaan dengan aktiviti yang mencurigakan di laut, masyarakat diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily