Manyin: Cadangan tukar nama untuk sekolah rendah untuk memprovokasi maklumbalas

Manyin (dua dari kiri) menerima cenderahati dari Naib Canselor UNIMAS, Professor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi (kiri) selepas merasmikan Kolokium STEM 2018 Zon Sarawak.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, April 3: Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak belum bercadang membincangkan dengan Kementerian Pendidikan cadangan supaya sekolah rendah di negeri ini dipanggil dengan nama lain.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata setakat ini, beliau hanya menyuarakan cadangan itu bagi memprovokasi orang ramai memberikan maklumbalas atau sokongan mereka mengenainya.

“Tidak (bercadang berbincang dengan Kementerian Pendidikan). Saya hanya memprovokasinya sahaja, seseorang perlu memprovokasinya supaya nama sekolah ‘primary’ dapat digunakan. Namun cadangan pertukaran nama panggilan terbabit setakat ini juga hanya bagi sekolah rendah sahaja dan bukan sekolah menengah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kolokium Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) 2018 Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.

Advertisement

Manyin berkata cadangan tersebut memang perlu disuarakan kerana panggilan nama sekolah rendah ketika ini tidak sesuai dan dikhuatiri terus memberikan gambaran yang “rendah” terhadap kepentingan sekolah terbabit.

“Bila saya menyebut perkataan ‘rendah’, apa yang akan ada dalam fikiran kita ialah sesuatu yang tidak begitu penting. Jadi, saya fikir kami akan memberitahu Pengarah (Pendidikan Negeri) bagi Sarawak, kami mahu mengunakan panggilan nama sekolah ‘primary’ dan bukannya sekolah ‘rendah’,” katanya.

Manyin berkata demikian mengulas cadangannya sebelum ini yang sekolah rendah di negeri ini dipanggil dengan nama lain bagi meningkatkan penekanan terhadap matapelajaran STEM di sekolah terbabit.

“Ketika ini sekolah rendah British digelar ‘primary school’ atau sekolah utama manakala di Indonesia digelar sekolah dasar yang menunjukkan perhatian yang lebih utama sentiasa diberikan kepada murid sekolah terbabit termasuk juga dalam mengajar matapelajaran STEM,” katanya.

Bagaimanapun di negara ini adalah berbeza, dengan sekolah rendah telah ketingggalan diberikan perhatian dalam banyak perkara berbanding sekolah menengah sehingga banyak sekolah rendah di negeri ini dalam keadaan yang daif.

Sementara itu, di sidang media berkenaan, Manyin juga mendedahkan yang pihaknya dalam proses untuk mula mengunakan khidmat pesara guru tahun ini bagi menambahbaik pengajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di sekolah negeri ini.

“Pesara guru terbabit bukan akan mengadakan ceremah dan seminar bagi mengajar kepada pelajar sekolah tetapi mengajar teknik pengajaran tiga matapelajaran itu kepada guru dan menjadi mentor guru terbabit di sesuatu daerah,” katanya.

Beliau tidak mendedahkan bilangan pesara guru terbabit tetapi ketika ini usaha mencari mereka sudah dimulakan dan khidmat mereka akan dibayar setimpal dengan kelayakan. — DayakDaily

Advertisement