Mangsa serangan buaya di Samarahan ditemui mati

Mayat mangsa dibawa naik ke darat selepas ditemui.

KOTA SAMARAHAN, 27 Mei: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang disambar buaya semalam berjaya ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 1.58 petang hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa, 30, ditemukan di tengah sungai berdekatan Kampung Naie Lama, di sini.

Jelasnya, juga terdapat kecederaan di rusuh kanan mangsa dipercayai akibat serangan buaya.


“Mangsa mangsa ditemui satu kilometer di hulu daripada tempat kejadian iaitu ditengah-tengah sungai dan jala juga masih berada dengan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa dilaporkan hilang selepas dikatakan menyelam ke dalam sungai tersebut untuk melepaskan jalanya yang tersangkut.

Ketika kejadian, mangsa menjala ikan bersama bapa dan bapa saudaranya iaitu sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Turut menyertai operasi SAR mangsa ialah pihak polis, APM, Rela dan penduduk kampung. — DayakDaily