Malaysia sasar eksport minyak sawit ke China tahun ini melebihi RM14 bln

Fadillah ketika ditemui di Kuching hari ini (7 Nov 2023).

KUCHING, 7 Nov: Malaysia berusaha untuk meningkatkan nilai eksport minyak sawit ke China bagi tahun 2023 melebihi RM14 bilion.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, satu lawatan akan diadakan ke China bagi mengukuhkan lagi dagangan kedua-dua negara khusus berhubung minyak sawit.

“Misi utama lawatan adalah berhubung kait dengan komoditi kita, dagangan antara China dan Malaysia khususnya kelapa sawit, dimana China adalah sebuah negara pengimport utama minyak sawit kita dan ini salah satu misi penting,” katanya ketika ditemui di Kuching hari ini.


Terdahulu Fadillah telah merasmikan ‘The 51st Annual Session And Meeting of The International Pepper Community And The International Spice Exhibition (51st IPC ASM ISE)’.

Selain meningkatkan eksport minyak sawit, tambah Fadillah, lawatan juga bertujuan untuk mengukuhkan dagangan lain serta perhubungan dengan China.

Apatah lagi, ujarnya, tahun depan adalah ulang tahun ke 50 hubungan Malaysia-China.

“Itulah (tingkatkan eksport minyak sawit) adalah usaha kita membuat lawatan ke sana.

“Dan salah satu yang diumumkan ialah memorandum persefahaman antara syarikat Sime Darby dan sebuah syarikat China.

“Tahun lepas nilai eksport minyak sawit adalah RM14 bilion. Akan berlaku peningkatan agak konsisten, tunggu hujung tahun ini,” ujar Fadillah. — DayakDaily