KUCHING, 25 Ogos: Malaysia pada tahun 2024 diletakkan di Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS).
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia meningkat baik setelah negara di kedudukan Tahap 2 Pemerhatian pada tahun 2023.
“Sebelum itu, Malaysia berada di Tahap 3 selama dua tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2022 dan 2021,” kata Fadillah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Konvensyen Banteras Exploitasi Pekerja di Kuching hari ini.
Tambah Fadillah, Malaysia memperbaiki kedudukan tersebut hasil usaha bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Katanya, usaha tersebut melibatkan aktiviti-aktiviti iaitu pertama memberi kesedaran kepada pemain-pemain industri dari segi amalan terbaik, kedua pemantauan dan ketiga penguatkuasaan.
“Dengan adanya penguatkuasaan menerusi undang-undang yang diperkenalkan, maka akhirnya peringkat dunia melihat komitmen kita dari segi amalan baik.
“Ia melibatkan pengambilan pekerja bagi kita mengelak daripada berlakunya pemerdagangan orang dan juga pengambilan buruh paksa.
“Ini bermakna peringkat antarabangsa sudah mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh KDN dan KESUMA.
“Tetapi itu tidak mencukupi dan kita kena tingkatkan usaha ini secara berterusan,” ujar Fadillah.
Mengulas lanjut, beliau berkata sempadan negara yang luas antara cabaran yang dihadapi dalam menangani isu tersebut.
“Banyak kemasukan secara haram di sempadan negara oleh sindiket-sindiket dan lain-lain.
“Tetapi dengan langkah-langkah penguatkuasaan oleh KDN dan KESUMA, kita yakin boleh membendung masalah ini dengan berkesan,” kata Fadillah. — DayakDaily