Malaysia catat 260 kes baharu, tertinggi sejak PKPP dilaksana

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Kadir Edison

PUTRAJAYA, Okt 1: Malaysia mencatatkan 260 kes positif baharu hari ini menjadikan ia peningkatan tertinggi jangkitan direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan pada 9 Jun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi kes positif dengan 118 kes diikuti Kedah dengan 98 kes, Kuala Lumpur (14) Selangor (13), Putrajaya (lima), Terengganu (dua), Perlis (dua) Pahang (satu), Pulau Pinang (satu) dan Melaka (satu)

“Daripada jumlah kes positif yang direkodkan itu, 31 kes positif melibatkan mereka yang kembali dari Sabah baru-baru ini.

“Hanya satu kes import direkodkan hari ini, manakala yang lainnya merupakan jangkitan tempatan,” katanya ketika sidang media Covid-19 di pejabat Kementerian Kesihatan di sini hari ini.


Beliau berkata, empat kluster baharu turut dikesan oleh Kementerian Kesihatan di Kedah (kluster Bah Ketil), Selangor (Kluster Meru), Sabah (Kluster Joo Hwa) dan Putrajaya (Kluster Selasih)

“Tiada kes kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara kekal pada angka 136 kematian.

“Hari ini juga sebanyak 47 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah yang sembuh daripada jangkitan tersebut meningkat kepada 10,014 kes atau 87.2 peratus. Ini menjadikan jumlah kes aktif di seluruh negara meningkat kepada 1,334 kes,” katanya

Ujar Dr Noor Hisham, secara keseluruhan sejumlah 11,484 kes dicatatkan di negara ini sejak jangkitan wabak berkenaan mula di kesan pada Januari lalu.

Katanya, 20 pesakit kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. — DayakDaily