Malaysia bakal lakukan ujian klinikal fasa ketiga vaksin Covid-19

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 4 Dis: Kementerian kesihatan akan melakukan percubaan fasa ketiga menggunakan vaksin virus yang dinyahaktifkan oleh Institut Pendidikan Perubatan Biologi, Akademi Sains Perubatan China di Beijing.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selepas mengikuti fasa pertama dan fasa kedua ujian klinikal vaksin tersebut, mendapati ia selamat serta berupaya memberikan tindak balas antibodi yang baik.

Advertisement

Bagaimanapun katanya Malaysia kini sedang melakukan percubaan klinikal fasa ketiga dalam populasi negara ini bagi melihat kesan vaksin tersebut.

“Kajian dibuat bagi melihat dengan lebih dalam kesan dan keselamatan penggunaan vaksin tersebut terhadap populasi di negara ini.

“Kajian ini juga didaftarkan dengan Badan Penyelidikan perubatan kebangsaan dan akan dilakukan oleh penyelidik daripada kementerian kesihatan dengan bantuan penyelidik klinikal tempatan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lapan hospital tempatan akan terlibat dengan ujian klinikal fasa ketiga tersebut antara Hospital Ampang, Hospital Umum Sarawak, Hospital Sungai Buluh, Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya, Hospital Taiping, Hospital Sultahah Bahriyah dan Hospital Permaisuri Bainun.

Katanya ujian klinikal tersebut penting untuk menentukan sama ada vaksin tersebut efektif dan boleh memberikan keputusan yang dikehendaki apabila digunakan untuk rakyat di negara ini.

“Kita berharap pada 10 Disember ini kita akan melihat semula penyelidikan perubatan tersebut dan jawatankuasa etika akan melihat kepada undang-undang dan etika penyelidikan berkaitan.

“Apabila diluluskan kita dijangka akan memulakan kajian serta ujian klinikal tersebut samada penghujung bulan ini atau pada tahun hadapan,” katanya. – DayakDaily

Advertisement