Malang menimpa pemandu lori, pergelangan kaki kiri putus

Keadaan depan lori yang remuk akibat kemalangan.
Advertisement

Oleh Dean Adam

DARO, Nov 15: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia putus pergelangan kaki dalam satu nahas di pangkalan feri di Sungai Batang Lassa di sini hari ini.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki yang memandu sebuah lori yang membawa muatan besi melanggar sebuah lagi lori yang lain di pangkalan feri di situ.

Advertisement

Katanya, insiden yang berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berumur 54 tahun tersepit dan menyebabkan pergelangan kaki kirinya putus.

“Bagaimanapun, pemandu sebuah lori lain yang turut membawa muatan besi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Orang awam yang berada di lokasi kemudian cuba membantu mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Matu-Daro, DSP Neil Baginda mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

Katanya, mangsa yang berjaya dikeluarkan telah dihantar ke Hospital Daro mendapatkan rawatan kecemasan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement