Makmal untuk pembangunan Singai di Bau bakal diadakan

Henry ketika ditemui selepas menyempurnakan program ‘town hall’ di pusat Redeems, Bau pada 4 Mac 2023. Foto: Ukas

KUCHING, 5 Mac: Satu makmal akan diadakan bagi membincangkan secara menyeluruh dan komprehensif hala tuju pembangunan kawasan Singai di Bau, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Henry yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru berkata Singai mempunyai penduduk yang ramai dan boleh melangkah lebih jauh sekiranya platform pusat Redeems di Bau kukuh dan mendapat sokongan penduduk.

“Singai tidak mahu ketinggalan kerana mereka terlalu rapat dengan bandar, sekarang ia boleh dikatakan berada di pinggir separuh bandar dan apa yang dibuat di Bau dan Greater Kuching.


“Justeru, komuniti Singai tidak mahu terlepas, mereka sahaja yang tahu apa yang mereka mahu,” katanya semasa ditemui selepas menyempurnakan program ‘town hall’ anjuran Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (Redeems) di pusat Redeems semalam.

Henry turut memberitahu program tersebut membolehkan beliau mendengar sendiri cadangan, idea mahupun kritikan yang membina daripada penduduk setempat kepada kerajaan.

Menurutnya, setiap penduduk di kawasan itu berhak untuk berkongsi buah fikiran dan meluahkan permasalahan yang berlaku menerusi Redeems.

“Pusat ini adalah saluran yang tepat dan terus kepada wakil rakyat sekaligus mengeluarkan Pelan Induk untuk diselaras dengan Rangka Tindakan Bau dan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA),” ujarnya. – DayakDaily