Maklumat menggugat keharmonian kaum di media sosial harus ditapis

Dr Yii Lee (tiga kiri) bersama Pengarah Penerangan Sarawak, Abang Sardon Abang Hashim (dua kiri,) menyampaikan piala dan hadiah kepada kumpulan HLV Gemilang.

KUCHING, 3 Mei: Maklumat atau berita di media sosial yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian perlbagai kaum haruslah ditapis dan jangan dikongsi sewenang-wenangnya.

Ahli Parlimen (MP) Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen menasihati orang ramai supaya berhati-hati sebelum mengambil keputusan untuk berkongsi atau menyebarkan maklumat berikut.

“Penduduk harus mengambil langkah penapisan sendiri kerana penyebaran pelbagai maklumat dan berita di media sosial adalah begitu pantas, dan ini sememangnya ada kebaikan dan keburukannnya.


“Tersilap langkah, kemakmuran negara yang kita kecapi ketika ini akan hancur sekelip mata,” katanya ketika menghadiri Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Sarawak 2019 di Auditorium Finas, Petra Jaya, di sini semalam.

Dr Yii (lima kiri) bersama semua kumpulan peserta Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Sarawak 2019.

Sehubungan itu, Dr Yii menyarankan penduduk Sarawak untuk hanya menyebar dan berkongsikan maklumat yang baik dan membawa manfaat serta mengeratkan hubungan pelbagai kaum.

“Saya percaya kita semua adalah pengguna media sosial yang waras dan matang. Saya percaya kewarasan dan kematangan kita dalam menerima dan menyebar maklumat di dalam media sosial adalah benteng pertama dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara ini,” katanya.

Selain itu, beliau meluahkan rasa yakin pertandingan Pengisahan Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan Sarawak itu akan dapat menyemarakkan lagi semangat “Sayangi Malaysiaku” kepada penduduk Sarawak dan berharap lebih banyak program sedemikian dapat dianjurkan jabatan terbabit.

Johan pertandingan terbabit ialah kumpulan HLV Gemilang dianggotai pelajar Institut Perguruan Kampus Tun Abdul Abdul Razak (IPGTAR) dari Kota Samarahan iaitu Veronica Dina Saga, Lis Solihat Ag Hasbollah dan Alexswealth Egun.

Membawakan tajuk pengisahan “Kisah dan Teladan (Rosli Dhobi Pejuang Negara)” dan mereka menerima hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala dan akan mewakili Sarawak ke pertandingan di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu pada September.

Naib johan ialah kumpulan Patriotisme Women dari Limbang yang dianggotai Vanessa Draman (lepasan sekolah), Siti Nurul Farhani Pedi@Lapok (jururawat) dan Maybellyn Alice Dundang (lepasan sekolah).

Mereka membawakan tajuk pengisahan “Tokoh Pejuang Kemerdekaan (Rentap)” dan menerima hadiah tunai RM2,000.

Tempat ketiga ialah kumpulan Phoenix yang dianggotai pelajar IPTAR dari Kota Samarahan iaitu Muhammad Amjad Ahmad Shahrir, Nur Hamizah Sahril dan Muhammad Faiz Hazanuar.

Mereka membawakan tajuk pengisahan “Tokoh-tokoh Sejarah Kemerdekaan (Bintang Pantai Timur)” dan menerima hadiah tunai RM1,500. — DayakDaily