This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 11 Julai: Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain 2023 bersempena dengan Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka akan diadakan di Kuching pada 21 Julai ini.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti Dan Komunikasi Datuk Liwan Lagang, majlis dihadiri tetamu kehormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, ia dianjurkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
“Majlis akan berdoa untuk kemakmuran, keamanan dan kestabilan politik Sarawak,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Tambah Liwan, seramai lebih 700 peserta yang mewakili pelbagai agama dijangka hadir pada majlis yang akan diadakan di sebuah hotel itu nanti.
Ujar beliau, doa kesyukuran akan dimulakan oleh Archbishop Katolik Dr Simon Poh.
“Seterusnya diikuti doa oleh wakil penganut agama Baháʼí, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan Tao,” kata Liwan sebagai Timbalan Menteri Bertanggungjawab Majlis.
Majlis juga boleh diikuti secara langsung menerusi media sosial seperti TVS dan saluran Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas). — DayakDaily