Majang: Tapak lama Lapangan Terbang Bintulu harus dikekalkan untuk kegunaan rakyat

Majang ketika membentang perbahasan di Dewan Undangan Negeri di Kuching hari ini (Nov 7, 2019).

Oleh Peter Sibon

KUCHING, Nov 7: Tapak lama Lapangan Terbang Bintulu yang kini hanya mempunyai keluasan 3.7 hektar harus dikekalkan untuk pelbagai aktiviti-aktiviti social rakyat Bintulu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Samalaju Majang Renggi.

Jelas beliau, tapak tersebut harus dilengkap dengan pelbagai kemudahan asas dan dijadikan sebuah dataran yang moden bertaraf antarabangsa.


“Jusreru, saya memohon supaya tapak ini dikekalkan tanpa dibangunkan dengan bangunan, hotel, kedai dan sebagainya.

“Kini tapak bersejarah ini hanya tinggal 3.7 hektar sahaja di mana selebihnya telah dipenuhi dengan bangunan komersil atau sudah ada pemilik lain. Banyak sejarah telah tercipta di tapak ini dan mendapat banyak pengiktirafan,” kata Majang ketika membentang perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Antara pengiktirafan tersebut ialah sebagai lapangan terbang paling dekat dengan bandar di dunia oleh The Guinness Book of World Records pada tahun 1981; the ;Longest Wind Garden Street’ oleh The Malaysia Book of Records dalam tahun 2017; ‘Longest Mooncake in Malaysia’ berukuran 888 meter oleh The Malaysia Book of Records pada tahun 2017 dan ‘Biggest Arc Kite Tunnel’ dan ‘Most Number of Train Kites in Arch Tunnel’ oeh The Malaysia Book of Records yang telah dicipta dalam bulan September tahun ini.

Majang menambah, sejak 2005, tapak tersebut telah dijadikan sebagai tapak Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo yang amat popular.

“Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo amat popular dan telah menghimpunkan pelbagai penghujung sama ada dari dalam mahupun dari luar negara.

“Sementara itu, tapak ini sering kali dijadikan sebagai ruang niaga dan menjadi medan untuk mengetengahkan peralatan tradisional dan keunikan seni serta budaya masyarakat tempatan khususnya apabila berlangsungnya sesuatu program mahupun festival diadakan disitu,” kata beliau. — DayakDaily