Lukisan mural Sapok Biki di dinding Rumah Rehat Lama Simunjan

Nancy ketika berucap di Majlis Perasmian Explanade Simunjan.
Advertisement

SIMUNJAN, 20 Ogos: Lukisan mural figura Sapok Biki, peninju Sarawak yang pernah mencipta nama di arena sukan antarabangsa Komanwel dilukis di dinding Rumah Rehat Lama Simunjan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) Dato Sri Nancy Shukri, ia merupakan sebahagian daripada tarikan ke daerah tersebut selain kombinasi eko-pelancongan dan pelancongan berasaskan warisan.

“Uniknya, mural ini mempunyai sentuhan gabungan elemen bersejarah dan seni grafik moden artis, elemen-elemen mercu tanda serta sejarah Simunjan seperti arang batu dan Alfred Wallace, yang memberi nilai tambah kepada bangunan tersebut,” katanya dalam ucapan aluan di di Majlis Perasmian Esplanade Simunjan hari ini.

Advertisement

Selain itu tambah Nancy yang juga MP Batang Sadong, mural yang diinspirasikan oleh kain songket tenunan Seri Gedong Songket dilukis di dinding laluan masuk Anjung Usahawan Gedong.

Katanya, ia mengetengahkan seni tenunan tradisional yang indah dengan nilai estetika tersendiri.

Manakala di pasar Sadong Jaya ujar Nancy, Masjid Bugisyiah juga ada lukisan mural.

“Khazanah daripada kepelbagaian seni dan budaya masyarakat majmuk inilah yang menjadikan Batang Sadong, sebuah destinasi eko-pelancongan unik.

“Ia menawarkan pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan pengunjung, seiring dengan matlamat kita, untuk memperbanyakkan lagi produk pelancongan berteraskan ‘experiential tourism’ di Malaysia,” kata Nancy.

Majlis Perasmian Esplanade Simunjan telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pada sidang media selesai majlis, Nancy berkata MOTAC akan terus memberikan bantuan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan bagi memulihkan industri yang terjejas akibat Covid-19 dalam tempoh 3 tahun yang lalu.

Katanya, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana industri pelancongan melibatkan pelbagai aktiviti ekonomi seperti perkhidmatan homestay, makanan dan pengangkutan.

“Apabila industri ini kembali pulih, ekonomi penduduk setempat akan bertambah baik dan ini adalah cara bagi kita untuk memulihkan ekonomi.

“Yang penting sektor pelancongan harus dibantu bagi membolehkan orang ramai memanfaatkannya,” kata Nancy. — DayakDaily

Advertisement