LSS lancar kempen keselamatan pengangkutan sungai sempena perayaan Gawai-Raya

Nyabong menyertai satu upacara adat tradisi ketika majlis perasmian Kempen Keselamatan Pengangkutan Sungai.

KUCHING, 24 Mei: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah melancarkan “Kempen Keselamatan Pengangkutan Sungai” untuk mengingatkan orang ramai bertapa pentingnya keselamatan semasa menggunakan bot ekspress.

Ini sempena Perayaan Hari Gawai Dayak, Hari Raya Aidilfitri dan cuti pertengahan persekolahan di Terminal Penumpang Kapit semalam.

Kempen terbabit telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, yang mewakili Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri Dr James Masing.


Majlis juga dihadiri pengerusi LSS Dr Murni Suhaili, controller Richard Tajan dan wakil kementerian, William Jinep.

1.Nyabong (empat dari kiri) menunjukkan poster Kempen Keselamatan Pengangkutan Sungai yang disiarkan laman Facebook Sarawak Rivers Board.

Menurut LSS di laman Facebook “Sarawak Rivers Board”, kempen terbabit bertujuan memberitahu orang awam tentang pentingnya keselamatan semasa menggunakan bot ekspress dan memastikan pengusaha-pengusaha bot ekspress mematuhi segala peraturan yang dikuatkuasakan lembaga tersebut.

“Selain itu, LSS juga akan menjalankan operasi bagi mencegah bot penumpang daripada membawa muatan penumpang melebihi had yang dibenarkan, menguatkuasakan polisi ‘No Ticket, No Entry’ (tidak dibenarkan masuk tanpa tiket).

“Ini termasuk memastikan senarai nama penumpang direkod dan menguatkuasakan Pas Pelepasan dan Borang 10P,” menurut kenyataan tersebut.

Disamping itu operasi terbabit juga bagi memastikan RTP bot penumpang masih sah tarikh lakunya, memastikan operator bot penumpang mematuhi kadar tambang yang telah diluluskan oleh kerajaan dan memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang semasa mengguna terminal dan pengangkutkan sungai. — DayakDaily