This Content Is Only For Subscribers
BINTULU, 18 Ogos: Seorang lelaki maut dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah lori tangki di Jalan Pesisir Bintulu-Sebubu, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.10 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dan Bintulu diarahkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori tangki muatan minyak petrol dan diesel telah terbalik di bahu jalan dan terdapat seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.
“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas serta bantuan sebuah lori kren bagi memudahkan operasi.
“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd Azrin Sapri berusia 32 tahun.
Pasukan bomba kemudian melakukan pembersihan kawasan kemalangan.
“Pada jam 1.15 petang, proses pemindahan minyak telah selesai dilakukan dan setelah memastikan keadaan selamat serta terkawal, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” katanya. — DayakDaily