Oleh Dean Adam
TATAU, Nov 23: Seorang pemandu lori tangki nyaris maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas lalu terhumban masuk ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di Jalan Separai Tatau-Bintulu di sini lewat petang tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 5.25 petang itu, pemandu kenderaan berkenaan hanya mengalami kecederaan di bahagian anggota badannya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.30 petang.
Sejurus itu, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP (BBP) Tatau telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba sebuah lari tangki terjatuh di dalam sebuah gaung. Anggota bomba segera melakukan operasi sebelum mendapati pemandu lori berkenaan dalam keadaan tersepit,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, pihak bomba terpaksa meminta bantuan dua buah jengkaut untuk memudahkan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Tatau untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 6.15 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily