Lima rumah musnah terbakar, 19 orang hilang tempat berteduh di Bintulu

Kebakaran rumah di Bintulu.

BINTULU, 20 Mei: Lima buah rumah di Jalan Abang Yusuf, Tanjung Kidurong di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.03 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kidurong dan Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan lima buah rumah rumah struktur kekal di mana ke semua rumah telah terbakar 100 peratus.

“Pasukan pemadam bertindak melakukan pemadaman menggunakan teknik ‘offensive dan deffensive’ dengan membentang dua aliran 400 kaki 4 nozel sumber air dari pili bomba dan pam jentera water tanker secara relay pumping sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

“Kesemua penghuni rumah iaitu seramai 19 orang berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily