KUCHING, 9 Feb: Lima penghuni terpaksa bertindak terjun dari bangunan kediaman mereka di Blok F Flat Taman Suria Jaya di sini selepas bangunan itu terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kelima-lima mangsa terbabit terpaksa mengambil keputusan berkenaan kerana kebakaran terbabit hampir melibatkan kesemua unit kediaman di bangunan flat empat tingkat berkenaan.
“Kelima-lima mangsa tersebut berada dalam keadaan selamat dalam insiden itu namun mengalami sedikit kecedaraan akibat tindakan tebabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selain lima mangsa terbabit, tiga lagi mangsa iatu dua dewasa dan seorang bayi yang juga merupakan antara penghuni yang mendiami blok kediaman tersebut berjaya diselamatkan oleh pihak Bomba.
Katanya, kelima-lima mangsa yang mengalami kecederaan akibat terjun dari bangunan flat berkenaan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut
Tambah beliau, kebakaran terbabit memusnahkan antara lima peratus hingga 80 peratus 14 unit kediaman yang terdapat di bangunan flat empat tingkat tersebut.
“Anggota bomba yang berada di lokasi kejadian mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran sebelum operasi berkenaan ditamatkan sekitar jam 7.21 pagi tadi.
“Jumlah kerugian akibat kejadian terbabit dan punca kejadian masih lagi dalam siaaatan,” katanya. — DayakDaily