Lima pelatih PDK Sri Satok bawa pulang pingat Sukan Olimpik Khas Negeri Sarawak Ke-6

Pelatih PDK Sri Satok yang menyertai Sukan Olimpik Khas Negeri Sarawak Ke-6.

KUCHING, 4 Julai: Lima pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Satok berjaya membawa pulang pingat dalam Sukan Olimpik Khas Negeri Sarawak ke-6 yang berlangsung pada 1 hingga 3 Julai lepas di Sibu Jaya.

Rezeki berpihak kepada kesemua pelatih PDK itu apabila menang dalam acara yang dipertandingkan mengikut kategori masing-masing.

Menurut Laporan Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS), pelatih Zaha Ariffin merangkul dua pingat emas dalam kategori Bocce (Single) Lelaki dan kategori Bocce (Unified) bersama petugas Muhammad Iqmal.


Manakala, pelatih Helwinie Audrey memenangi pingat emas dalam kategori Bocce (Single) Perempuan dan pingat gangsa dalam kategori Bocce (Unified) bersama petugas Shafr Safri.

Selain itu, kategori Olahraga 200 meter dimenangi Syahmi Syahiiran dengan membawa pulang pingat emas.

Pingat perak pula dimenangi oleh Mohd Iqbal dalam kategori Lompat Jauh dan Nuriswandi Sukiman bagi kategori Lontar Peluru.

PDK Sri Satok ialah sebuah pusat latihan untuk individu kelainan upaya (berkeperluan khas) yang terletak di Pusat Kebajikan Datuk Amar Juma’ani di Kuching. — DayakDaily