Lima daripada 13 tuntutan Sarawak di bawah MA63 dipersetujui kerajaan persekutuan

Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali

KUCHING, 11 Nov: Lima daripada 13 tuntutan Sarawak dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada kerajaan persekutuan berjaya mendapat persetujuan kedua belah pihak.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, empat tuntutan lagi masih dalam proses rundingan manakala empat tuntutan lagi masih dibincangkan dibawah jawatankuasa bersama yang ditubuhkan bagi perkara berkenaan.

Katanya, lima tuntuntan tersebut antaranya berkaitan Semakan semula Pemberian Khas, pengedaran gas, tenaga buruh, alam sekeliling dan pelepasan serta penyerahan balik tanah.


“Kesinambungan kepada usaha tersebut sesungguhnya telah diteruskan dan diperjuangkan Sarawak dibawah kepimpinan GPS bersama kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perikatan Nasional.

“Diperingkat persekutuan satu Majlis Khas Kabinet ditubuhkan bagi meneruskan dan memantau perlaksanaan keputusan –keputusan yang telah dicapai oleh jawatankuasa sebelum ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau bertanya mengenai status terkini rundingan MA63 dengan kerajaan pusat, hala tuju rumdingan dan bilakah rundingan tersebut akan berakhir dengan perlaksanaan hasil tuntutan Sarawak itu.

Menurut Sharifah Hasidah, untuk jangka masa panjang, Sarawak akan terus membawa serta memperjuangkan tututan tersebut untuk perhatian kerajaan persekutuan supaya usaha untuk mengembalikan hak Sarawak dapat dilaksanakan.

“Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak (BHESS) di Jabatan Perdana Menteri juga telah dilantik selaku urusetia bagi memantau keputusan-keputusan dasar jawatankuasa khas cabinet yang di tubuhkan,” katanya. — DayakDaily