KUCHING, Mac 22: Lima individu berdepan detik mencemaskan apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi kereta lain di Jalan Stapok, Batu Kawa di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.55 malam itu melibatkan sebuah Perodua Axia dan Toyota Corona.
Bagaimanapun, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, hanya melibatkan kecederaan ringan sahaja.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.57 pagi.
Katanya, sejurus menerima laporan kemalangan itu, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan Toyota Corona dan Perodua Axia.
“Pemeriksaan lanjut mendapati Perodua Axia dalam terhumban di dalam parit, manakala kesemua mangsa sudah keluar dari kereta itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, pemeriksaan mendapati seorang perempuan berumur 23 tahun mengalami kecederaan pada kepalanya.
Katanya, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.26 tengah malam,” ujarnya lagi. — DayakDaily